“A picture is worth than a thousand words”

Friday, September 12, 2014

BATIK

Pengenalan Batik
Perkataan batik merujuk kepada proses menghasilkan kain dengan menggunakan teknik terapan lilin bagi menghasilkan reka corak yang kemudian dicelup dengan pelbagai warna yang menarik. Reka corak serta penggunaan bahan-bahan baru telah menyemarakkan lagi pengeluaran batik. Batik yang dihasilkan di negara ini telah berjaya menembusi dunia fesyen antarabangsa. Kebiasaannya reka corak dan motif-motif batik diinspirasikan dari alam semula jadi seperti flora dan fauna yang kemudiannya digabung dengan corak-corak geometri atau abstrak.  Reka corak batik ini diaplikasikan ke atas batik menggunakan teknik canting, batik blok dan batik sutera saring. 



Sejarah Batik

Di Malaysia kini batik telah diangkat sebagai salah satu daripada seni warisan bangsa yang menjadi kebanggaan negara. Perusahaan batik dipercayai bermula pada awal abad ke 12 iaitu di Kepulauan Jawa dan kemudiannya berkembang ke Semenanjung Tanah Melayu, khususnya di Kelantan dan Terengganu. Semenjak itu seni kemahiran batik terus berkembang ke negeri-negeri lain di Malaysia. Batik di negara ini dihasilkan dengan teknik dan reka corak yang beridentitikan Malaysia. Kini Malaysia menjadi salah sebuah negara pengeluar utama batik di dunia yang mengiktiraf kehalusan dan kemahiran kerja tangan pengeluar batik tempatan.


JENIS-JENIS BATIK
Batik Blok

Merupakan antara teknik pembuatan batik yang terawal di negara. Blok yang diperbuat daripada sebongkah kayu atau logam diukir dengan motif-motif bersesuaian untuk mengecap kain yang dikenali scbagai batik blok atau cop. Selain daripada kain kapas, penggunaan kain sutera dan organza dalam pengeluaran batik blok telah menghasilkan tekstil batik yang sesuai untuk rekaan fesyen, perhiasan serta kelengkapan rumah yang eksklusif.


Motif dan Rekacorak Hiasan

Motif-motif yang sering digunakan pada kain batik blok adalah berupa corak tumbuh-tumbuhan dan bunga-bunga tempatan seperti Bunga Mawar, Bunga Orkid, Bunga Cengkih, Bunga Cina, akar-akar menjalar, paku-pakis dan corak-corak geometrik terutamanya motif Pucuk Rebung. Motif-motif ini pula diterapkan dalam berbagai susunan dan tataletak, seperti melintang, tegak, serong, tompok-tompok dan susunan batu-bata.

Batik Canting

Dikenali juga sebagai batik lukis. Proses batik bermula dangan lilin cair dilakar menggunakan canting dan diwarna mengikut kesesuaian reka corak. Selain dari kain kapas, kain rayon, voile, organza dan sutera turut digunakan. Reka corak yang menarik dengan pilihan warna yang ceria menampilkan batik bukan sahaja sesuai untuk fesyen pakaian malah boleh juga dijadikan sebagai kelengkapan dan hiasan rumah serta hadiah dan cenderamata yang eksklusif.

Alat canting digunakan bagi melakar corak batik dengan lilin panas di atas kain putih. Setelah kerja-kerja melakar selesai, proses mewarna mengikut kesesuaian corak dilakukan dengan menggunakan berus cat, dimana bahagian-bahagian yang terkena lilin itu tidak akan meninggalkan kesan warna apabila proses mematikan warna di lakukan. Lilin akan cair dan tanggal menjadikan bahagian-bahagian ini berwarna putih sebagai benteng. Terdapat banyak jenis canting, antaranya ialah canting kasut, canting laras dua, laras tiga, empat dan lain-lain.


Batik lukis aneka pilihan yang menarik.

Batik Skrin
Dikenali juga sebagai batik stensil atau batik sutera saring. Batik jenis ini merujuk kepada teknik lakaran corak dan terapan warna dilakukan di atas skrin yang diperbuat daripada poliester diregang di atas pemidang. Motif-motif dilukis atas skrin yang telah ditetapkan ukurannya. Kebiasaannya beberapa keping pemidang dengan reka corak yang berbeza disediakan. Ini adalah kerana satu pemidang hanya untuk satu warna sahaja. Skrin kemudian dilekapkan di atas sehelai kain putih bagi melakukan proses pewarnaan. Proses pewarnaan ini dilakukan beberapa kali bagi melengkapkan corak dan warna sehelai kain batik.
  

Batik skrin

Batik Terap

Batik terap atau batik cop adalah kaedah mengghasilkan batik dengan menggunakan blok pengecop. Kain putih akan diterapkan dengan corak batik yang menggunakan blok corak. Blok corak diperbuat daripada kayu atau logam.
Proses ini dilakukan berulang-ulang dengan mengikut susunan yang tertentu sehinggalah selesai. Blok tersebut akan dicelupkan terlebih dahulu ke dalam pewarna sebelum ditekapkan di atas kain tersebut. 
Batik terap atau batik cop

Batik Ikat Celup

Batik celup atau juga dikenali sebagai batik ikat, merujuk kepada kaedah mencorak batik dengan cara mencelup kain kedalam pewarna sebanyak beberapa kali. Corak dan reka bentuk penerapan warna dirancang terlebih dahulu dan bahagian yang hendak dilindung dari pewarna akan dicorak dengan menggunakan lilit (yang biasanya dicampur damar) atau diikat ponjok. Lilin atau ikatan tersebut akan melindung warna sedia ada dari bertukar apabila dicelup kedalam warna berikutnya.
Batik ikat celup atau batik pelangi

PROSES PENGHASILAN BATIK

Proses Batik Lukis

Sehelai kain mengambil masa  dari 1 hingga 3 hari untuk disiapkan bergantung kepada teknik dan jenis batik yang ingin dihasilkan.  Kebiasaanya ia akan melalui sebahagian dari proses-proses berikut:

1. Membasuh kain

Membasuh kain dasar atau kain putih yang baru dipotong mengikut saiz diperlukan. Tujuan untuk menghilangkan kanji pada kain yang belum diguna dan memudahkan serapan lilin dan warna pada kain. Setelah di basuh, jemur hingga kering.


Kain dasar atau kain putih siap dicuci.

2.   Menyurih
Menyurih ialah proses melakar reka corak dan motif batik di atas permukaan kain. Proses menyurih dilakukan di atas meja surih dengan menggunakan pensel 2B atau pensel warna larut. Proses ini adalah antara proses-proses yang dilakukan untuk menghasilkan batik canting.

Menyurih motif batik atas kain dasar.



3.   Meregang atau menegang
Meregang atau menegang kain yang telah dilukis motif dengan pensil.  Kain ini kemudiannya diregang dengan menyangkut kedua-dua hujung kain pada susunan paku yang terdapat pada alat pemidang mudah alih atau meja terap.

Kain dasar atau kain putih siap diregang di atas kayu/besi pemidang.
4.      Mencanting (untuk batik lukis)
Proses mencanting dilakukan dengan menggunakan sejenis alat yang dipanggil canting. Campuran lilin cair dimasukkan ke dalam alat canting dan kemudian dilakar di atas permukaan kain dasar yang diregang di atas pemidang. Lakaran lilin ini dilakukan bagi menghalang bahan pewarna daripada bercampur dan meresap masuk ke kawasan lain. Proses ini juga adalah antara proses-proses yang dilakukan untuk menghasilkan batik canting.
Proses mencanting batik menggunakan alat 'Tjanting'.

5.  Menerap (untuk batik terap)

Menerap ialah proses mengecap permukaan blok atau sarung bunga yang telah dicelup ke dalam campuran lilin cair yang panas di atas permukaan kain dasar yang telah dibentang di atas meja penerap. Terapan yang dilakukan mengikut bahagian dan reka corak yang telah ditetapkan. Selepas terapan pertama, kain akan dicelup dengan pewarna. Kebiasaannya, warna muda atau lembut digunakan untuk celupan pertama ini.

Menerap motif atas kain menggunakan 'Sarang bunga'

6 .     Menerap Berulang
Proses menerap berulang atau terapan kedua adalah sama dengan proses terapan pertama cuma terapan kedua dilakukan dengan menggunakan blok dan warna yang berbeza. Warna yang lebih gelap atau lebih tua digunakan supaya mengimbangi warna celupan pertama. Proses ini dilakukan untuk menghasilkan batik blok.
menerap2
7.      Mewarna
Mewarna memainkan peranan penting dalam proses menghasilkan batik yang cantik dan indah. Pada awalnya, warna-warna semulajadi digunakan secara meluas dalam pembuatan batik. Kemudian pelbagai warna telah digabung seperti campuran warna yang kontra, gelap dan cerah, dan pelbagai teknik warna diaplikasikan untuk mewarna batik. Antara teknik-teknik batik adalah Teknik Alfa, Teknik Semburan Angin (Air Brush), Teknik Menarik, dan lain- lain. Pengeluar dan pereka batik tempatan sentiasa melakukan kajian dan penyelidikan tentang penggunaan warna-warna batik supaya warna tidak mudah luntur dan menampilkan warna-warna menarik serta mengikut perkembangan warna semasa.
Mewarna batik menggunakan pewarna batik 


8.     Mematikan warna

Setelah siap diwarnakan sepenuhnya, permukaan batik hendaklah disapu dengan sodium silicate sepenuhnya untuk menjamin semua bahagian warna dimatikan. Pastikan kedua-dua bahagian atas dan bawah kain benar-benar diseliputi bahan pemati warna itu. Biarkan selama 8 hingga 12 jam. 
* Bagi batik terap pula,  kaedah mematikan warna adalah dengan merendam kain yang siap diwarnakan selama 8-12 jam.  

Batik siap disapu dengan sodium silicate.
9.      Merebus
Merebus merupakan proses terakhir dalam pembuatan batik. Kain akan direbus di dalam larutan air bercampur serbuk soda (soda ash) mengikut sukatan. Tujuan merebus kain adalah untuk menanggalkan liln dan lebihan pewarna pada kain batik. Kemudian kain batik dibasuh menggunakan air bersih dan dijemur ditempat yang teduh dan berangin. Setiap batik yang dihasilkan akan melalui proses merebus, walau apa pun teknik dan jenis kain yang digunakan untuk menghasilkan batik tersebut.
Merebus kain dengan campuran 'soda ash' yang berfungsi
untuk menanggakan lilin pada kain.

10.      Membasuh dan menjemur
Setelah direbus, kain perlu dibasuh dan dibilas dengan pelembut kain.  Pastikan kain benar-benar bersih dan kemudian dijemur hingga kering.
Seterusnya, kain yang telah direbus di cucui sehingga bersih.
Jemur kain hingga kering

11.      Melipat atau membungkus kain batik telah siap sedia untuk dipasarkan.

Batik yang telah siap di bungkus secara kodi.
Batik siap dibungkus untuk dipasarkan.

Batik memasuki pasaran.

Produk kraf batik dimensi baru.

1 comment:

  1. Bagus infonya blog ini. lama dah menyepi.
    Teruskan dengan niat dokumentasi.

    ReplyDelete